Tabung bantuan untuk anak pemandu teksi akan diwujud

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan melancarkan Tabung Bantuan Anak Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Negeri Johor bagi meringankan beban kumpulan itu berikutan pendapatan mereka semakin berkurangan, kebelakangan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang, berkata tabung itu yang dijangka dilancarkan tahun depan akan mengumpulkan sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) bertanggungjawab kepada semua golongan masyarakat dan tidak menyisihkan mana-mana golongan termasuk pemandu teksi.

“Oleh itu, kita akan melancarkan satu tabung kebajikan khas kepada anak-anak pemandu teksi untuk kita bantu mana yang kita mampu.

“Sumbangan ini bukan datang daripada kerajaan, tetapi NGO dan masyarakat memandangkan sejak kebelakangan ini pendapatan pemandu teksi kurang dengan mendadak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media ketika melihat persiapan Projek Kasut Sekolah anjuran Persatuan Penduduk Perjiranan 11, Bandar Dato’ Onn di Pusat Komuniti Perjiranan 11 di sini, hari ini.

Mazlan berkata, biarpun ada yang mengecam pemandu teksi di media sosial, bukan semua pemandu melakukan kesalahan dan pihaknya tidak mahu kerana segelintir yang membuat masalah, satu organisasi dibabitkan sama.

“Kecaman di media sosial bukan alasan kerajaan hendak menafikan hak bantuan kepada pemandu teksi, kerana bagi kami, mereka juga sebagai duta kecil kita yang setiap hari bertemu masyarakat. Kita harap mereka dapat membawa perkara positif kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, borang permohonan tabung bantuan itu boleh dimuat turun di laman web rasmi Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) iaitu www.paj.com.my atau mendapatkan terus secara manual di kaunter pejabat PAJ.

Permohonan boleh dibuat sehingga 30 November ini.

Antara syarat, pemohon mestilah warga negara, tergolong dalam kelas teksi bajet, teksi eksekutif, teksi lapangan terbang dan kereta sewa serta memiliki kad pemandu teksi yang sah.

Pada masa sama, Mazlan menggesa semua pemandu teksi mendaftar dengan mana-mana persatuan teksi bagi memudahkan urusan komunikasi dalam menyampaikan sebarang maklumat.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/11/499095/tabung-bantuan-untuk-anak-pemandu-teksi-akan-diwujud