Lawatan Saringan Kesihatan Terminal Feri Antarabangsa Kukup bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri pada 10/2/2020, Isnin.

Seramai 5,000 orang yang memasuki negeri ini menerusi pintu masuk Terminal Feri Antarabangsa Kukup, di sini, direkodkan sudah menjalani ujian saringan kesihatan setakat ini susulan penularan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV).

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri berkata saringan oleh petugas Pejabat Kesihatan Daerah Pontian itu mula dilakukan sejak 29 Jan lepas di Terminal Feri Antarabangsa Kukup.

Secara purata saringan yang telah dibuat melibatkan seramai 5,000 orang dan hasil saringan yang dibuat menerusi termometer digital menunjukkan suhu badan kesemua penumpang (5,000 orang) adalah normal

Mohd Solihan yang turut mengedarkan penutup hidung dan mulut kepada penumpang berkata seramai 470 penumpang direkodkan memasuki terminal berkenaan setiap hari.